Sudah dipukul baung di lembah,
Sayangnya kelah terlepas jala;
Madah diungkap dan dipersembah,
Dengan bismillah kita bermula.
Assalamualaikum semua. Nama diberi Aenitan binti Rahman dan pastinya ramai tertanya-tanya kenapa nama sebegitu pula? Adakah empunya diri mempunyai darah kacukan Cina? Tidak, saya hanyalah seorang gadis yang berbangsa tulen Bugis dan berasal dari Kota Kinabalu, Sabah. Sejarah asal usul nama Aenitan adalah berkait rapat dengan nama kepada salah seorang jururawat yang merawat ibu saya semasa ibu saya di hospital bertarung nyawa untuk melahirkan saya ke dunia ini.
Ayah sayalah yang paling bersemangat memberi saya nama tersebut dengan harapan suatu hari, anak perempuannya ini akan menjadi seorang jururawat yang baik dan membantu ramai ibu-ibu melahirkan kelak. Tapi sayang seribu kali sayang, kita hanya merancang tetapi Allah menentukan. Walaupun telah mengambil jurusan sains tulen semasa SPM, namun saya masih tidak merasakan jiwa mahupun aura untuk menjadi seorang jururawat. Sebaliknya saya lebih tertarik dengan bidang pendidikan dan juga Bahasa Melayu.
Dan akhirnya, sekarang saya sedang menyambung pelajaran dalam Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) di Universiti Putra Malaysia.
Sekian :')
Saya minat blok akak.. akak blog rusa kan... with love from me
ReplyDelete