Monday, December 16, 2019

BBM3410Satu2019: Ketika dan Kalimat


Assalamualikum semua...
Sedar tak sedar, rupanya kisah aku sebagai pelajar UPM sudah hampir tiba ke penghujungnya. Di sini bukan sekadar mengajar aku ilmu tentang kos yang aku ambil, tetapi juga tentang ilmu kehidupan. Dan akhir sem inilah, satu subjek yang betul-betul mengajar aku ilmu tersebut ialah, subjek Multimedia dalam Bahasa (BBM3410) yang diajar oleh Prof. Dr. Normaliza bt Abd Rahim. Nak tahu kenapa saya kata subjek ini mengajar saya macam-macam?

Pada awal kelas, kami sudah dimomokkan oleh Prof sentiasa redha. Ingatkan selama ini saya da faham apa itu redha yang sebenar. Rupanya, setelah beberapa minggu kelas dengan Prof baru saya makin memahami apa itu redha sebenarnya. Betullah kata senior-senior saya dulu, "amboi baru first dan second year da stress da? tunggu la final year nanti." Dan sumpahan kesibukan sem 7 sememangnya bukan mitos semata. Hambeek kau, dengan PITA/FYP, subjek minor yang banyak tugasan dan kena buat sehingga dua pementasan dan tentunya tugasan mingguan subjek Multimedia. Dahlah tugasan bukan setakat satu, tetapi kadang sampai 3 tugasan setiap minggu. Lepas tu ada pula kelas amali yang tiada dalam jadual. Ya ampunnn, amali tu pula ada saja tugasnya. Memang redha habislah kami sekelas :')

Tetapi jujur dari lubuk hati, saya bersyukur kami sekelas 'terpaksa' mengambil kelas ini sebagai syarat bergraduate. Jika sebelum ini saya kurang rapat dan mengenali semua rakan kos saya, tetapi kelas ini membuat saya kenal mereka secara tidak langsung. Melihat video yang dimainkan oleh setiap kumpulan setiap minggu, saya mula tahu rupanya coursemates aku ni masuk air dan gila-gila juga rupanya ehh. Dan pastinya kadang saya terpegun melihat sesetengah bakat rakan saya yang pandai berlakon, hebat mengedit video dan ada yang mahir menjadi model rupanya yerrr.

Dan apa yang paling saya syukuri ialah, dengan team production saya sendiri iaitu Prestige Production.  Betapa bangganya saya dapat menjadi sebahagian daripada team ini. Walaupun ada beberapa minggu timbul juga kontraversi sesama kita, tapi hebatnya kita mampu atasi dan selesaikan semua tugasan dengan jayanya. Sanggup tunggu smpai tengah malam sebab saya jumpa SV utk PITA, kemudian dengan yakinnya shoot video tragedi di FBMK lewat malam tu, Shoot video seram tengah malam di kawasan library, memang kita la paling gila masa tu (ahahahah).

Terima kasih Prof Dr Normaliza, yang kecil molek tapi ya Allah aura dia, lain macam. tak perlu ke-18 atau ke-19, cukup yang pertama datang kelas, mmg terus dapat rasa vitamin untuk datang kelas tiap minggu. Mana taknya, kalau tak datang, haaa kumpulan kau tak dapat bentang. Dah jejaskan markah satu kumpulan. Datang lambat pun takut tau. Kalau lambat memang kena berlakonlah acah penat.

Terima kasih En Akmal, tutor untuk kelas amali kami. Baru tahu dia rupanya senior minor seni persembahan rupanyaaaaa. Selamat maju jaya dengan Phd, fuhh memang tabik la. Terima kasih sudi diinterview untuk vlog convo kumpulan kami. Mula-mula masuk kels amali ni ingat dia garang tau, atau pun seorang yang bersikap dingin. Dahlah kami ni jenis duduk belakang, macam tak dihirau, macam anak tiri, tapi ehh rupanya okay je pun En Akmal ni. 

p/s: Saya langsung tak menyesal ambil subjek ni last semester sebab sekurangnya saya tak gila dengan FYP saya, sebab subjek nikan da macam vitamin. Dan saya tak pernah tak terhibur dengan lawak Prof apa lagi lawak tentang Siti Nurhaliza tu. Baru saya tahu yang Siti Nurhaliza ambil nama Prof ehhh. 










Wednesday, December 4, 2019

BBM3410Satu2019: Ulasan Buku Ehh!!! Media Sosial

Assalamualaikum semua, sebelum ni saya sudah kongsikan satu ulasan tentang buku Kajian Waca ana dan Strategi Komunikasi: Teori dan Aplikasi. Kali ini saya akan berkongsi pula ulasan tentang satu lagi buku yang bertajuk Eh!!! Media Sosial.


Bab 1 ialah tentang Media Sosial: Gambaran Keseluruhan yang membuatkan pembaca akan memahami apa itu media sosial, rangkaian sosial dan jenis-jenis media sosial. Bab ini juga menyentuh tentang mengapa media sosial digunakan dalam P&P bahasa. Bab 2 pula tentang kajian berkaitan Twitter dan trend terkini yang menunjukkan bahawa semua responden setuju bahawa Twitter mudah diakses, pantas, efisyen dan membekalkan informasi terkini. Bab ini juga terdapat perkongsian cara untuk membuat akaun Twitter. Bab 3 ialah tentang Facebook kajian yang dijalankan berkaitan facebook yang menunjukkan bahawa Facebook ialah satu alat yang berkesan untuk interaksi pelajar. Bab 4 ialah tentang Instagram menyeronokkan dengan hasil kajian yang positif iaitu semua subjek kajian berminat dengan cerita pendek Instagram. Bab 5 menceritakan tenttang kajian berkaitan E-mel untuk melihat proses interaksi pelajar yang melibatkan penyertaan dan interaksi.

Bab 6 pula ialah tentang kajian Blog di dalam kelas bahasa yang menunjukkan bahwa blog membantu pelajar Korea untuk mempelajari kesusasteraan, bahasa dan pembelajaran teknologi. Bab 7 merungkai tentang isu dalam rangkaian sosial dalam kalangan pengguna dan kajian menunnjukkan kebanyakkan responden menyatakan bahawa terdappat isu penggunaan bahasa dan struktur ayat di dalam rangkaian sosial. Bab terakhir iaitu Bab 8 ialah tentang implikasi pedagogi yang merumuskan bahawa media sosial dan rangkaian sosail menawarkan peluang untuk pembelajaran bahsa yang berkesan secara specifik.

Rujukan
Norein Mansor & Normaliza Abd Rahim. (2019). Eh!!! Media Sosial. Kuala Nerus: Penerbit Universiti Malaysia Terengganu.

Harga buku: RM 60.00

Wednesday, November 27, 2019

BBM3410Satu2019: Ulasan Buku Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi: Teori dan Aplikasi Normaliza Abd Rahim (2019)

Assalamualaikum, kali ini saya akan berkongsi ulasan saya tentang satu buku yang sangat menarik iaitu Buku Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi: Teori dan  Aplikasi yang ditulis oleh salah seorang pensyarah saya yang comel dan baik hati dan pastinya mengajar banyak perkara kepada kami, pelajarnya.

Bab 1 buku ini membahas tentang definisi wacana. Wacana didefinisikan sebagai unit bahasa yang mempunyayi kesantunan fikiran dan melebihi batas ayat serta terletak dalam tingkat tertinggi dalam hierarki bahasa. Selain itu tokoh lainnya seperti Edmonson (1981), Asmah Haji Omar (1986), Raminah Hj. Sabran & Rahim Syam (1985), Normaliza Abd Rahim (2014,2018) Stubbs (1983), Brown & Yule (1983) dan Halliday & Hassaan (1985) juga ada pendapat tentang definisi wacana yang dimampatkan dalam buku ini. Bab 2 pula pula tentang teori dan pendekatan wacana yang turut diperkenalkan oleh beberapa tokoh yang tela disebut diatas. Setiap teori mempunyai pre-andaian dan elemen sendiri. Pemilihan teori dan pendekatan yang sesuai dan tepat perlu diutamakan supaya huraian dan analisis data dapat difahami dengan jelas. Bab 3 pula berbicara tentang Analisis Wacana Tekstual dan Ujaran. Kajian tersebut meliputi tiga kajian iaitu kajian wacana tekstual lirik lagu, wacana tekstual cerita sosial dan ujaran dalam kalangan kanak-kanak autisme. Ketiga-tiga kajian menggunakan pendekatan analisis wacana yang dicadangkan. Kajian ini sangat bermanfaat kepada masyarakat terutama dalam membantu perkembangan kanak-kanak istimewa.

Seterusnya ialah Bab 4 iailah tentang Strategi Komunikasi. Bab ini lebih menumpukan kepada definisi strategi komunikasi yang dikemukan oleh beberapa orang tokoh seperti Tarone, Selinker dan lain-lain. Bab 5 pula mengenai Taksonomi dan Pendekatan Strategi Komunikasi yang juga turut diperkenalkan oleh bebrapa orang tokoh. Bab 6 pula yang bertajuk Analisis Strategi Komunikasi dalam Kalangan Kanak-kanak pula membincangkan tentang kajian yang dijalankan menggunakan sampel sepuluh orang pelajar sekolah rendah bagi menganalisis strategi komunikasi mereka. Hasil kajian menunjukkan beberapa strategi yang digunakan dan kekerapan yang paling tinggi ialah menggunakan perkataan singkatan. Akhir sekali ialah Bab 7 tentang Cadangan Kajian akan Datang yang mencadangkan beberapa cadangan kajian yang boleh dilakukan antaranya ialah kajian tentang bahsa isyarat, bahan bercetak dan bahan elektronik dan media sosial.

RUJUKAN
Normaliza Abd Rahim. (2019). Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi: Teori dan Aplikasi. Terengganu. Penerbit UMT.

HARGA BUKU : RM 20.00



Saturday, October 19, 2019

BBM3410Satu2019 : Instagram Minggu 6

Assalamualaikum semua...






Dalam hidup ni, kita ada banyak tanggungjawab. Tanggungjawab sebagai seorang hamba kepada-Nya, tanggungjawab sebagai anak dan dan semualah. Tapi, itu tanggungjawab yang natural dan menjadi lumrah alam kerana kita hidup bukan sendirian, tetapi berkumpulan. 
Tapi lain pula bila kita diberi tanggungjawab serta amanah dari org lain untuk kita jalankan. Maknanya, org tu percaya dengan kita. Jangan sia-siakan kepercayaan org lain terhadap kita ya. Buat sesuatu bersungguh-sungguh 🌸


Wednesday, October 9, 2019

BBM3401Satu2019 : Ulasan Bab 6 Blog di dalam Kelas Bahasa

Blog merupakan satu medium perbincangan bertulis sama ada dalam bentuk formal atau tidak formal (Normaliza Abd Rahim, 2014). Ia boleh digunakan untuk kegunaan peribadi sebagai jurnal atau diari dan juga boleh digunakan untuk tujuan perniagaan dalam mempromosikan dan memperiklankan produk. Menurut Li & Chignell, 2010, sebagai salah satu rangkaian sosial dan medium komunikasi, blog membolehkan pengguna berinteraksi dengan penulis blog yang lain. Menulis blog adalah satu aktiviti yang berguna yang bukan sahaja untuk meningkatkan keyakinan dalam menulis tetapi juga sebagai motivasi untuk mereka belajar menulis dengan kreatif.

Terdapat juga beberapa kajian lain yang telah dibuat berkaitan blog. Antaranya ialah blog pendidikan menggunakan teknologi untuk menawarkan latihan maklum balas yang berguna dan semakan berdasarkan maklum balas serta langkah asas dalam proses penulisan untuk memperbaiki penulisan pelajar (Williams,2004). Pada hari ini, keutamaan teknologi di sekolah dan universiti tidak menghadkan kepada alat pembelajaran tertentu. Mereka bersedia untuk menggunakan teknologi baharu bagi memepelajari pelbagai saluran komunikasi (Saeed et al., 2009)

Menurut Normaliza Abd Rahim (2014), beliau telah menyenaraikan 10 cara menulis blog dengan baik.
  1. Tajuk yang menarik yang boleh menarik perhatian pembaca.
  2. Cerita menarikyang dapat menarik hati pembaca.
  3. Masukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkannya lebih menarik.
  4. Memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan anda.
  5. Kaitkan penulisan anda dengan berita terkini.
  6. Gunakan perkataan dan struktur yang ringkas.
  7. Dapat dibaca dan difahami.
  8. Dapat berkomunikasi dengan pembaca.
  9. Masukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan anda.
  10. Berilmu untuk penulisan pendidikan.

Kesimpulannya, blog sangat membantu pelajar untuk mempelajari kesusasteraan, bahasa dan pembelajaran teknologi. Menulis blog menigkatkan motivasi dan keyakinan untuk menulis.

Thursday, October 3, 2019

BBM3410Satu2019 : SUATU KETIKA

Assalamualaikum semua..

Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga kecil yang sederhana. Saya mempunyai 6 orang adik-beradik iaitu seorang kakak, seorang abang, seorang adik lelaki dan dua orang adik perempuan. Saya merupakan anak ketiga. Beza umur antara kami adik beradik tidaklah jauh sangat iaitu kakak saya beumur 26, abang saya berumur 25, saya 23, adik perempuan saya berumur 19, adik lelaki saya berumur 15 dan yang bongsu berumur 9 tahun. 

Saya sangat bersyukur dilahirkan dalam keluarga yang sederhana ini dan Alhamdulillah ibu bapa saya tidak pernah tidak cukup memberi kami adik-beradik makan dan selalu memberikan kami keperluan yang cukup seperti pendidikan. 


Payah sebenarnya nak mencari gambar yang ada kami semua sekeluarga. Hanya kami berempat yang rajin bergambar selalu 😝


Dalam kalangan keluarga kecil kami, kami berempatlah sangat rapat dan suka meluangkan masa bersama iaitu untuk berjalan-jalan dan bergambar bersama. Mak saya seorang yang penyayang dan saya akui, mak saya mempunyai jiwa muda dan menyebabkan kami adik-beradik tidak pernah segan untuk berkongsi semua masalah kami kepada mak, dan mak juga selalu memberikan kami kata semangat serta nasihat untuk setiap masalah yang kami hadapi. 

Kesimpulannya, semua ibu bapa di dunia ini ingin melihat kejayaan anak-anak mereka. Oleh itu, buatlah sesuatu yang membanggakan mereka selagi mereka masih ada di dunia dan kepada rakan-rakan yang ibu bapanya telah tiada, jangan pernah putus asa membahagiakan mereka dengan cara selayaknya.

Wednesday, October 2, 2019

BBM3410Satu2019 : TIP BELAJAR DENGAN MUDAH

TIPS BELAJAR DENGAN MUDAH

Assalamuallaikum semua...

Sebenarnya banyak cara atau tips untuk belajar dengan mudah tetapi ada dua cara yang saya amalkan iaitu :-

1. Baca nota dahulu sebelum masuk kelas

Sebelum datang ke kelas, sebaiknya kita menelaah atau membaca dahulu nota untuk topik pada hari berkenaan. Lebih afdhal kalau nota yang dibaca itu dua atau sehari sebelum kelas. Oleh itu, sekurangnya kita datang ke kelas dengan ada pengetahuan dan bukannya sekadar datang kosong sahaja. dengan ini, secara langsung akan membuatkan kita lebih fokus kerana kita tahu dan berminat akan topik tersebut. selain itu, kalau ada sebarang soalan pula semasa kita membaca nota, kita boleh ajukan pada cikgu atau pensyarah kita masa kelas nanti. 

2. Membuat nota / isi penting pada 'sticky note'

Tips yang kedua ialah dengan membuat atau menyalin nota ringkas atau isi-isi penting pada sticky note dan kemudia melekatkan sticky note tersebut pada kawasan-kawasan yang kita biasa lihat terutamnya dalam bilik kita. sebagai contoh, kita boleh lekatkan pada cermin bilik, meja study mahu pun di pintu almari. Jadi bila kita tengah besiap, sempatlah kita menjeling dan baca sekurang-kurangnya lima kali dalam sehari berkaitan nota tersebut. Dan secara automatik, insyaAllah membantu dalam membuatkan kita sentiasa ingat akan nota tersebut.

Walau bagaimanapun, lain orang lain cara yang mereka selesa dan mampu buat. Kalau anda ada tips lain yang menarik, sudilah berkongsi pada saya ini, seorang budak yang baru belajar. Tapi apa-apa pun, perkara awal yang paling penting ialah, kita kena betulkan niat kita belajar iaitu kerana Allah s.w.t. dan pastikan sepanjang kita menuntut ilmu, kita mendapat keredhaan daripada ibu bapa, gur-guru dan juga orang sekeliling.
Oleh itu, renung-renungkan dan selamat beramal semua 🌸


Tuesday, October 1, 2019

BBM3410Satu2019 : Bird's Eye View (Prestige Production)

Bird's Eye View (3 Gambar)




Pemandangan ibu kota yang sarat dengan bangunan pencakar langit dan tidak pernah berhenti dari kesibukan. 


Betapa cemburunya dengan burung yang boleh menikmati pemandangan sebegini sepanjang masa dan melihat kehijauan. Jagalah alam sekitar yang bukan sahaja membawa kebaikan kepada kita teatpi juga yang menjadi habitat flora dan fauna.


Melihat gambar sahaja sudah terasa ketar-ketar lutut apatah lagi berdiri memandang ke bawah. Susahnya dilema seorang yang gayat ketinggian. Rugi tidak dapat menikmati kecantikan pemandangan dengan dihiasi cahaya-cahaya lampu.

BBM3410Satu2019 : Over the Shoulder (Prestige Production)

Over the shoulder (3 Gambar)




Jauh memandang ke hadapan, jauh memikirkan permasalahan tapi jangan pernah berfikiran pendek untuk terjun ke dalam tasik tu pula. 


Satu-satunya kolej di dalam UPM yang menggunakan nama sultan sebagai nama kolej tersebt, dengan mengggunakan kereta kebal sebagai satu mercu tanda.


Berpeluang menjadi salah seorang pelajar UPM merupakan satu pencapaian yang luar biasa dan akan menjadi lebih luar biasa apabila mampu menceburkan diri dalam salah satu badan beruniform yang sangat mencabar iaitu PALAPES dan berjaya mengharungi serta menghabiskan latihan selama 3 tahun kemudiannya ditauliahkan oleh YDPA sebagai Leftenan Muda.


BBM3410Satu2019 : Mug Shot (Prestige Production)

Mug Shot (3 Manusia)


Bila kau ketawa tak sedar diri, sampai mata tak nampak, eh mulut pula yang nampak. Ketawa itu banyak kebaikannya semua. Boleh menghilangkan tekanan, membantu peredaran darah malah ketawa juga membantu untuk mengatasi penuaan. Oleh itu ketawa la selalu tapi jangan sering sangat. Nanti tak pasal-pasal dikata gila pula ya semua.


Dalam dunia, bukan semua benda yang kita harapkan kita akan dapat. Kekecewaan itu pastinya pernah dirasakan oleh semua insan di dunia ini namun, jangan biarkan diri kia dikurung dan dipenjara lama dalam kekecewaan itu, Ingatlah, kita hanya mampu merancang, Allah s.w.t menentukan dan Allah merupakan sebaik-baik perancang.


Tak sahlah kehidupan kalau kita tidak keliru dengan tingkah manusia yang suka tarik tali, dengan tingkah manusia yang suka mencari masalah. Tapi kekeliruan yang paling merisaukan ialah apabila semangat ingin menjawab peperiksaan, kemudian soalan pertama sahaja sudah menamyakan sesuatu yang kau tak pernah jumpa dalam subjek tersebut.

BBM3410Satu2019 : Medium Shot (Prestige Production)

1. Medium Shot (3 Manusia dan 3 Pemandangan)


Pandang tepi tengah tengok jodoh ka itu? Ini merupakan ayat yang akan selalu orang tanyakan bila kita bergamabr dengan pose yang seperti ini. Rileks, jangan marah. Tarik nafas dan kemudian jerit sahaja ke telinga si tukang tanya tu "Iya tengah tengok jodohlah ini!!"


Melangkahlah terus ke hadapan, namun ada ketika toleh sedikit ke belakang dan imbas kembali apa yang telah kita lakukan selama ini. Namun jangan pernah hanya duduk dalam satu bab yang sama sahaja. Teruskan melangkah sehingga ke pengakhiran, begitu kata pejuang.


Pemandangan yang cantik bersama model yang cantik akan menghasilkan satu gambar yang sangat cantik. Jangan risau gadis-gadis, kita semua memiliki kecantikan kita sendiri. Oleh itu, yakinlah pada diri sendiri dan hasilkan gambar yang cantik untuk kenangan.

2. Medium Shot (3 Manusia)


Tetaplah tersenyum semua walau apa pun yang terjadi kerana senyum itu merupakan senjata utama untuk musuhmu yang cuba menjatuhkanmu. 


Dan biarlah senyuman yang terukir itu juga menjadi benteng kepada segala permasalahan dan kesedihan yang dialami.


Awak tahu tak beza awak dengan buluh di belakang itu? Kalau buluh, jadikan lemang pun terbaik, tapi klau awak, masuk meminang lagi terbaik. Eh, hmp sampai ke ya?

BBM3410Satu2019 : Close-Up (Prestige Production)

1. Close-up (3 Manusia)


Amboi dia, gembira sangat sampai senyum lebar kenapa tu? Apa pun, kalau nak tips penjagaan gigi putih dan lawa macam akak ni, di kata guna kayu sugi je siang malam. Hmm boleh percaya ke ya?


Inilah definisi marah pun cantik ya kawan-kawan. Tapi jangan marah lama sangat Dina, kening tu haa da macam nak bersambung da tu. Sudah-sudah, jangan marah, nanti kita maka cendol ya?


Dalam hidup kita akan jumpa macam-macam jenis orang setiap hari. Ada yang baik, tidak kurang juga ada yang riak dan sombong. Oleh itu, kalau jumpa dengan orang negatif macam itu, kita hanya perlu pasang muka macam ini sahaja ya kawan-kawan.

2. Close-Up (Bukan Manusia)


Tengah-tengah panas buta dengan terik matahari, ini merupakan antara nikmat yang paling besar sekali kalau dapat, apatah lagi kalau dapat yang member belanja. Makin bertambah sedap dia kan? Tapi amaran keras, sila jangan tatap gambar semasa sedang berpuasa tau.


Kadang-kala cemburu dengan kehidupan kucing, Bila malas, jawabnya tidur saja lah. sudahlah dengan kecomelan dia ni. 


Nama kau Bunga, tiga tahun berkenalan tapi kita tak pernah bersua. Begitulah lagu dendangan Kugiran Masdo. Sekali dengar pasti nak dengar lagi lagu ni.                         

BBM3410Satu2019 : Long Shot (Prestige Production)

1. Long Shot (3 Pemandangan)


Sayang seribu kali sayang, bangunan yang biasanya nampak jelas dari pandangan Bukit Ekspo kini terhalang oleh jerebu. Hendak berangan kononnya berada di kawasan tanah tinggi seperti Genting Highland pun tak berapa nak menjadi juga. Semoga langit kita kembali bersih dan bersinar seperti dulu kala.



Tenang-tenang air di tasik, jangan disangka tiada buaya. Antara pesanan mak yang selalu saya pegang apabila melangkah masuk ke UPM. Apatah lagi berjauhan dari keluarga yang terpisah jauh di Sabah. Sentiasa waspada dan berhati-hati dengan semua perkara walau kelihatan selesa mana pun.


Perjalanan hidup jauh sebenarnya dan jalan bukanlah sentiasa lurus. Ada masanya jalan kita akan membelok ke kiri dan kadang-kala ke kanan. Kerana jika kita bekeras tetap mahu melangkah secara lurus tanpa mengikuti jalan, maka pelbagai rumput berduri yang perlu kita harungi dengan kepayahan dan belum tentu menemui jalan semula mahupun penghujung jalan.

2. Long Shot (3 Pemandangan dan Manusia)


Pemandangan matahari terbenam atau sunset menjadi salah satu pemandangan kegilaan ramai, termasuklah diri saya sendiri. Nasihat saya, sesiapa yang sedang ada masalah, atau berasa kecewa, pergilah ke pantai dan nikmati pemandangan serta bunyi ombak itu. InsyaAllah membantu :')


Penghujung jalan sana, terdapat satu blok kolej iaitu Kolej Canselor. Bersyukurlah wahai pelajar UPM kerana kita merupakan antara universiti yang mempunyai banyak kolej dengan fasiliti yang memuaskan. Nikmat apa lagi yang kau dustakan wahai anak mudaaa....


Salah satu mitos yang pernah aku dengar sebelum melanjutkan pelajaran ke UPM ialah, jangan pernah panjat bukit di belakang FBMK sebab ada rumah hantu di sini. Ternyata, kami di tipu hidup-hidup kerana bukan rumah hantu yang ada, tapi pemandangan yang lawa sangat sehingga kau sendiri boleh naik hantu kalau tak dikawal perasaan itu.

Thursday, September 26, 2019

BBM3410Satu2019 : Masih Di Sini

Assalamualaikum semua *nada Mira Filzah gituu....


Pertama sekali, marilah kita sama-sama mengucapkan syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dn kurnia-Nyalah kita masih di sini dan masih mampu bernafas. Ada pepatah yang mengatakan bahawa hidup harus terus maju ke depan dan jangan pernah toleh ke belakang. Tapi bagi saya, saya tidak bersetuju dengan pegangan hidup tersebut. Bagi saya, hidup memang tetap harus diteruskaan namun tidak bererti kita harus melupakan setiap yang sudah berlaku. Kita juga perlu toleh ke belakang untuk sentiasa mengingat asal usul kita tidak kira indah maupun tidak.

Antara kenangan yang menjadi kenangan indah dalam hidup saya ialah apabila saya menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UPM. Saya telah memilih untuk menyertai PALAPES Darat dan telah menjalani latihan selama 3 tahun. Akhirnya pada 3 Ogos 2019, saya dan pasukan saya telah ditauliahkan di UTM oleh TMJ sendiri. Peluang untuk menerima watikah daripada TMJ merupakan satu pengalaman yang bukan semua boleh dapatkan.  Dan pada 6 September, saya dianugerahkan Anugerah Kadet Wanita Terbaik Darat dalam Majlis Makan Malam Rejimental yang turut dihadiri oleh Pro Canselor UPM dan Nain Canselor UPM.

Kenangan lain yang takkan pernah saya lupakan lagi ialah apabila saya berpeluang bercuti bersama 6 orang sahabat saya ke Sekinchan selama 2  hari 1 malam iaitu 21 Jun 2019 sehingga 22 Jun 2019. Kami berpeluang menikmati pemandangan sawah padi dan sempat melakukan photoshoot bersama. Kami juga membantu mak angkat salah seorang sahabat kami dalam membuat persiapan untuk majlis Rumah Terbuka sempena Raya Aidilfitri di sana.





Sunday, September 22, 2019

BBM3410Satu2019: Nenek dan Datuk

SINOPSIS CERITA SOSIAL 1: NENEK DAN DATUK

Cerita sosial ini menceritakan tentang keluarga Alim yang pulang ke kampung iaitu di Kajang. Namun kepulangan Alim pada mulanya dipenuhi dengan tangisan. Pertama, Alim menyangkakan ayam dan itik datuk dan neneknya telah mati tetapi rupanya kedua binatang tersebut diletakkan di reban baru. Dan kedua, Alim menyangkakan yang rumah datuk dan neneknya telah tiada kerana keadaan rumah yang telah berubah membuat Alim menangis. Namun, setelah nenek berjaya memujuk Alim, akhirnya Alim dapat menerima dan kembali ceria dan mereka semakin rapat.


Rujukan : Kajian Wacana dan Strategi Komunikasi (Teori dan Aplikasi)


JENIS MULTIMEDIA YANG BOLEH DIGUNAKAN BAGI TUJUAN PENYEBARAN CERITA SOSIAL

1. Multimedia Hiperaktif
Multimedia ini mempunyai struktur serta eleman yang boleh dikaitkan oleh pengguna melalui tautan dengan elemen yang sedia ada. Sebagai contoh, sekiranya cerita-cerita sosial seperti cerita 'Nenek dan Datuk' diceritak di dalam web site, pastinya akan memudahkan pembaca untuk mendapat tautan cerita tersebut.

2. Multimedia Kits
Cerita sosial juga boleh diceritakan dalam CD-ROM mahupun kaset dan kemudian menarik minat penonton kerana diceritakan dan disiarkan dengan tambahan visual yang menarik berunsurkan warna dan tulisan yang lebih menarik.

3. Multimedia Linear
Cerita-cerita sosial seperti Nenek dan Datuk ini juga boleh dikembangkan dalam bentuk filem animasi atau filem lakonan sebenar dan disiarkan dalam siaran televisyen. Ini akan menarik minat lebih ramai pembaca untuk menonton cerita tersebut.

BBM3410Satu2019: Etika Penulisan Blog.

Etika Penulisan Blog

Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam buku "Eh!!! Media Sosial" karya Noraien Mansor dan Normaliza Abd Rahim (2019) menyatakan terdapat 10 cara bagi menghasilkan sebuah blog yang baik. Pertama sekali ialah menggunakan tajuk yang menarik yang boleh menarik perhatian pambaca. Hal ini, tajuk merupakan satu pandangan dan juga persepsi awal pembaca berkaitan blog tersebut. Jika penulis mengggunakan tajuk yang menarik mahupun gempak, pasti lebih ramai pembaca akan tertarik untuk membaca artikel dalam blog tersebut.

Seterusnya ialah menulis cerita yang dapat menarik hati pembaca. Setelah memastikan tajuk yang ditulis menarik dan gempak, cerita yang ditulis juga haruslah seimbang dan sepadan dengan tajuk. Dengan ini, pembaca tidaklah berasa kecewa atau marah kerana cerita yang ditulis tidak sepadan dengan tajuk seperti yang diharapkan pembaca.

Etika yang ketiga ialah masukkan ayat yang humor dan berbebntuk jenaka untuk membuatkannya lebih menarik. Sama seperti kehidupan realiti, pastinya akn terasa hambar jika hanya bersikap serius dan formal sahaja. Oleh itu, dalam medium penulisan, sekiranya anda ingin memastikan blog anda sentiasa diikuti oleh pembaca atau menarik minat lebih banyak pembaca, sedikit humor dan jenaka pastinya dapat membantu.

Keudian ialah memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan anda. Sesuatu artikel tanpa hujah menarik boleh diibaratkan seperti sebuah tin kosong. Apa gunanya sebuah penulisan yang panjang tanpa ada hujah bagi menyokong isu yang sedang anda bawakan kepada pembaca. Di sampinng itu, pembaca juga akan lebih yakin untuk menerima hujah anda.

Kaitkan penulisan dengan berita terkini juga akan menampakkan bahawa anda seorang penulis blog yang peka dengan keadaan sekeliling dan isu semasa. Ini juga akan meyakinkan pembaca bahawa anda buakn sekadar seorang 'keyboard warrior' dalam dunia maya tetapi sesungguhnya seorang penulis yang cuba menyampaikan maklumat dengan sebaknya kepada pembaca.

Tambahan lagi untuk menjadi seorang penulis yang baik, anda perlu menggunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas. Hal ini bagi memudahkan penonton memahami penulisan anda tanpa da ayat yang panjang berjela-jela  namun hanya sedikit isi atau maksud sahaja yang cuba disampaikan dan ini berkait dengan etika seterusnya iaitu penulisan yang dapat dibaca dan difahami. 

Selain itu, berkomunikasi dengan pembaca juga satu perkara yang menarik di mana penulis mungkin boleh bertanyakan pendapat pembaca berkaitan penulisannya. Penulis mungkin boleh meninggalkan satu persoalan atau pertanyaan dan meminta pembaca untuk menjawab dalam ruangan komen.

Seterusnya ialah memasukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan anda akan menjadikan pembaca lebih yakin bahawa anda bukan sahaja seorang yang berpengetahuan malah juga seorang yang mengamalkan nilai-nilai estetika meskipun hanya dalam dunia maya.

Dan akhir sekali, sekiranya penulisan blog tersebut ialah sebuah penulisan pendidikan atau akademik, penulisan blog seharusnya berilmu dan mebggunakan laras bahasa yangs sesuai dan bukan sekadar isi sahaja tetapi tidak dimampatkan dengan pengetahuan-pengetahuan serta pandangan sarjana lain.

Friday, September 20, 2019

BBM3410Satu2019 : SAYA FAHAM

Lagu & Lirik : Profesor Dr. Normaliza Abd Rahim
Hak Cipta : Univeraiti Putra Malaysia

SAYA FAHAM

Saya kata "Apa khabar"
Dia jawab "Khabar baik"
Ucapan untuk dia
Ucapan untuk saya

Selamat pagi, tengah hari, petang, malam
Untuk dia
Untuk saya

Terima kasih
Sama-sama
Untuk dia
Untuk saya

Terima kasih
Sama-sama
Untuk kita
Untuk mereka

BBM3410Satu2019:DIRI

Sudah dipukul baung di lembah,
Sayangnya kelah terlepas jala;
Madah diungkap dan dipersembah,
Dengan bismillah kita bermula.

Assalamualaikum semua. Nama diberi Aenitan binti Rahman dan pastinya ramai tertanya-tanya kenapa nama sebegitu pula? Adakah empunya diri mempunyai darah kacukan Cina? Tidak, saya hanyalah seorang gadis yang berbangsa tulen Bugis dan berasal dari Kota Kinabalu, Sabah. Sejarah asal usul nama Aenitan adalah berkait rapat dengan nama kepada salah seorang jururawat yang merawat ibu saya semasa ibu saya di hospital bertarung nyawa untuk melahirkan saya ke dunia ini. 

Ayah sayalah yang paling bersemangat memberi saya nama tersebut dengan harapan suatu hari, anak perempuannya ini akan menjadi seorang jururawat yang baik dan membantu ramai ibu-ibu melahirkan kelak. Tapi sayang seribu kali sayang, kita hanya merancang tetapi Allah menentukan. Walaupun telah mengambil jurusan sains tulen semasa SPM, namun saya masih tidak merasakan jiwa mahupun aura untuk menjadi seorang jururawat. Sebaliknya saya lebih tertarik dengan bidang pendidikan dan juga Bahasa Melayu.

Dan akhirnya, sekarang saya sedang menyambung pelajaran dalam Bacelor Sastera (Bahasa dan Linguistik Melayu) di Universiti Putra Malaysia.

Sekian :')